Cute Onion Club - Onion Head

Followers

Saturday, 16 June 2012

Panduan pemakanan Si Comel







Anda seharusnya memainkan peranan penting dalam menentukan corak pemakanan anak-anak. Sekiranya gagal berbuat demikian, dikhuatiri generasi muda ini tidak membesar sebagai pelapis yang sihat dan pintar.

Suatu ketika dahulu, apa sahaja yang dihidangkan oleh ibu bapa, itulah yang akan dijamah oleh si anak. Walau bagaimanapun, di masa kini senario sebegitu mulai berubah. Kanak-kanak di zaman ini lebih cenderung untuk memilih makanan segera berbanding makanan seimbang dan berkhasiat. Padahal makanan inilah yang sepatutnya diambil bagi mengiringi pertumbuhan yang sihat. Pada dasarnya, kanak-kanak perlu mengambil tiga hidangan makanan seharian dengan menjadikan snek berkhasiat sebagai makanan sampingan. Makanan itu termasuklah sayur-sayuran berdaun hijau, bijirin, daging, ayam dan kekacang yang dapat membekalkannya nutrisi yang diperlukan.

Kesibukan ibu bapa moden dalam memenuhi tuntutan kehidupan seharian menjadi salah satu faktor yang menjurus kepada permasalahan di mana anak-anak terjebak dalam pengabaian amalan pemakanan berkhasiat. Untuk itu, anda perlu bersikap tegas dalam mengawal tabiat pemakanannya. Ketahuilah, kunci utama dalam membentuk pemakanan yang baik sebenarnya bermula daripada diri anda sendiri. Oleh itu, anda perlu sentiasa menjadikan diri sebagai contoh yang paling baik.

Beringatlah bahawa jika mahu anak membentuk amalan pemakanan sihat, maka anda perlu menjadi role model. Jika mahu anak makan sayur-sayuran hijau yang biasanya tidak digemari olehnya, anda perlu menunjukkan kepada dia untuk dijadikan teladan. Namun, jika anda sendiri suka mengambil makanan segera dan minuman bergula, sudah tentu anda sukar untuk mengubah tabiat tidak sihat si anak.

1. Libatkan Anak
Anda digalakkan untuk kerap membawa anak ke pasar mahupun pasar raya bagi memperkenalkannya cara yang betul dalam memilih makanan berkhasiat. Sewaktu membeli-belah dan menyediakan makanan juga, dapatkan kerjasamanya. Dengan cara sebegini, anda dapat mendidik dia mengenal zat pemakanan melalui label pada bungkusan makanan. Malah, anda boleh bercerita berdasarkan fakta yang betul tentang makanan yang bakal disediakan.

2. Pelbagaikan Makanan
Anda perlu mempelbagaikan jenis masakan supaya dia mempunyai banyak pilihan yang secara tidak langsung dapat membuka seleranya untuk mencuba makanan yang mungkin sebelum ini tidak disukainya.

3. Hidangan Menarik
Anda perlu lebih kreatif dalam menyediakan makanan bagi menarik perhatiannya mencuba makanan yang mengandungi semua khasiat diperlukan. Anda seharusnya bijak dengan menyediakan resipi mudah tetapi berwarna-warni supaya dia makan apa sahaja yang dihidangkan.

4. Tempoh Masa Makan
Pastikan tempoh sesi makan anda sekeluarga adalah di antara 20 minit hingga 30 minit. Hal ini kerana kanak-kanak kecil amat mudah meniru perlakuan orang dewasa. Kecenderungan ini merupakan peluang baik untuk anda membentuk tabiat makan yang sihat. Oleh kerana itu, penting juga untuk anda menunjukkan contoh amalan pemakanan yang baik di hadapannya.

5. Makan Bersama Sarapan Pagi Dan Makan
malam merupakan waktu makan bersama paling baik. Jadikan waktu makan ketika ini sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Pada waktu inilah, anda sekeluarga dapat menikmati makanan enak dan sihat di samping mengeratkan hubungan masing-masing.

6. Masak Sendiri Di Rumah
Makanan yang disediakan sendiri lebih bersih dan sihat. Ini berikutan makanan yang disediakan di restoran, lazimnya mengandungi lebih banyak lemak, gula, garam dan perasa. Oleh itu, amalan memasak sendiri di rumah dapat menjadi contoh yang baik kepada anak.

7. Simpan Makanan Berkhasiat
Di ruang penyimpanan makanan seperti peti sejuk dan kabinet dapur, tempatkan makanan-makanan yang baik untuk kesihatan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, snek berkhasiat dan sebagainya.

Pastikan juga makanan tersebut disimpan di tempat yang mudah dicapai jika dia memerlukannya ketika lapar.

8. Jangan Memaksa
Jika anak-anak tidak dapat menghabiskan makanan, jangan paksa dia menghabiskannya. Untuk itu, jangan mengisi penuh makanan ke seluruh pinggannya.

Sebaik-baiknya tawarkan hidangan sedikit demi sedikit. Dengan cara ini, ia dapat menggalakkan dia untuk meminta lebih banyak makanan lagi.

9. Kaedah Memasak Sihat
Mengukus, merebus dan membakar adalah antara kaedah memasak yang baik untuk kesihatan. Oleh yang demikian, anda dinasihatkan untuk mengurangkan kaedah memasak cara menggoreng kerana ia sememangnya tidak baik untuk kesihatan.


artikel pilihan majalah pa&ma

No comments:

Post a Comment